Wednesday 30 August 2017

Pendebungaan

Agen-agen pendebungaan
Banyak agen terdapat dalam alam yang turut membantu pendebungaan tumbuh-tumbuhan. Antara agen-agen yang umum ialah
1) serangga
2) angin                                                                      
3) haiwan
4) air
5) pendebungaan beradas

Pendebungaan oleh serangga
Rama-rama, kupu-kupu, lalat, lebah dan kumbang merupakan contoh serangga yang banyak membantu dalam melaksanakan pendebungaan ini.
Apabila sekuntum bunga dihinggapi oleh seekor serangga untuk mendapatkan madunya, debunga yang berada di dalam anter yang telah matang dan pecah itu akan melekat pada badan serangga yang berbulu. Serangga ini kemudiannya mengunjungi bunga yang lain, sambil itu turut sama melepaskan debunga tadi ke stigma bunga yang disinggahi berikutnya. Dengan cara ini debunga-debunga itu akan dipindahkan dari satu bunga ke bunga yang lain.
Rama-rama sedang melakukan pendebungaan
Ciri-ciri bunga yang didebungakan oleh serangga
Biasanya bunga yang didebungakan oleh serangga mempunyai ciri-ciri khas yang bertujuan untuk menarik perhatian serangga, antaranya:
i) Bunganya mempunyai ukuran yang besar, contohnya bunga raya dan alamanda atau bunga kecil tetapi wujud dalam bentuk sejambak yang besar, contohnya bunga matahari.
ii) Ranggi bunganya berwarna terang bagi memudahkan penglihatan dan pengenalan oleh serangga, contohnya bunga jambu bol, bunga raya, bunga keembung, bunga merak, bunga semarak api dan bunga kertas yang mempunyai pengasuh bunga yang berwarna terang. Warna-warna yang berlainan ini bertujuan untuk menarik perhatian serangga yang berlainan. Misalnya warna putih yang selalunya terbuka pada waktu malam, didebungakan oleh kupu-kupu. Bunga-bunga yang berwarna biru terang atau merah jambu, selalunya didebungakan oleh rama-rama dan ia terbuka pada waktu siang. Lalat pula tertarik kepada bunga-bunga yang berwarna keperang-perangan dan mem­punyai bau yang agak busuk.

                                                 Bunga jambu bol
iii) Bunga menghasilkan bau yang harum untuk menarik serangga yang jauh, contohnya bunga gelang, bunga melur dan mawar. Berbeza pula dengan bunga yang didebungakan oleh lalat, yang mempunyai bau yang busuk.
iv) Setengah serangga memakan biji-biji debunga dan sudah pastilah bunga terpaksa menghasilkan biji-biji debunga yang banyak. Jadi di samping memakan biji-biji debunga, juga turut membantu mendebungakan bunga itu pada waktu yang sama, contohnya tumbuhan 'crocus'.
v) Bunga mempunyai kilang-kilang manisan (madu) di pangkal-pangkal bunga. Kilang ini menghasilkan manisan yang dinamakan madu bunga. Serangga mengambil madu sebagai makanannya. Anter, stigma dan kilang madu terletak begitu sesuai tempatnya supaya serangga dapat turut membantu mendebungakan bunga itu sewaktu mengambil madunya. Misalnya bunga yang didebungakan oleh kupu-kupu, mempunyai kilang madu yang terletak pada pangkal reranggi yang dalam di mana hanya boleh dicapai oleh belalainya yang panjang. 
     Seekor lebah sedang menghisap madu sambil mendebungakan bunga 

Ada juga beberapa jenis bunga yang mempunyai tanda-tanda khas pada ranggi bunga yang menghala ke arah kilang madu. Ini dinamakan pemandu madu. Kadang-kadang ranggi diubahsuai sebagai permukaan mendarat bagi serangga yang melawatinya, contohnya bunga kacang hantu. Begitu jugalah hubungannya dengan serangga. Oleh kerana serangga mempunyai ukuran lidah atau belalai yang berlainan, maka ia hanya boleh mendebungakan bunga-bunga yang kilang manisan atau kilang madu yang sesuai dengan lidahnya sahaja.
Pada umumnya bunga yang didebungakan oleh serangga ini mempunyai debunga yang sedikit, berdinding tebal, melekit dan berduri. Ini bertujuan memudahkan debunga tadi melekat pada bulu dan kaki serangga yang berbulu itu. Di samping itu, bunga juga mempunyai stigma yang melekit supaya debunga yang jatuh di atasnya akan melekat kuat, di samping mempunyai stil ( benang-sari) dan stamen yang kuat dan tegak.

Contoh-contoh bunga pendebungaan serangga

  • Kacang hantu
  • Salvia
  • Bunga matahari


Video di bawah menunjukkan proses pendebungaan melalui serangga









6 comments: