Banyak agen terdapat dalam alam yang turut membantu
pendebungaan tumbuh-tumbuhan. Antara agen-agen yang umum ialah
1) serangga
2) angin
3) haiwan
4) air
5) pendebungaan beradas
Pendebungaan oleh
serangga
Rama-rama,
kupu-kupu, lalat, lebah dan kumbang merupakan contoh serangga yang banyak
membantu dalam melaksanakan pendebungaan ini.
Apabila sekuntum bunga dihinggapi oleh seekor serangga
untuk mendapatkan madunya, debunga yang berada di dalam anter yang telah matang
dan pecah itu akan melekat pada badan serangga yang berbulu. Serangga ini
kemudiannya mengunjungi bunga yang lain, sambil itu turut sama melepaskan
debunga tadi ke stigma bunga yang disinggahi berikutnya. Dengan cara ini
debunga-debunga itu akan dipindahkan dari satu bunga ke bunga yang lain.
Rama-rama sedang melakukan pendebungaan
Ciri-ciri bunga yang didebungakan oleh
serangga
Biasanya bunga yang didebungakan oleh
serangga mempunyai ciri-ciri khas yang bertujuan untuk menarik perhatian
serangga, antaranya:
i) Bunganya
mempunyai ukuran yang besar, contohnya bunga raya dan alamanda atau bunga kecil
tetapi wujud dalam bentuk sejambak yang besar, contohnya bunga matahari.
ii) Ranggi
bunganya berwarna terang bagi memudahkan penglihatan dan pengenalan oleh
serangga, contohnya bunga jambu bol, bunga raya, bunga
keembung, bunga merak, bunga semarak api dan bunga kertas yang mempunyai
pengasuh bunga yang berwarna terang. Warna-warna yang berlainan ini bertujuan
untuk menarik perhatian serangga yang berlainan. Misalnya warna putih yang
selalunya terbuka pada waktu malam, didebungakan oleh kupu-kupu. Bunga-bunga
yang berwarna biru terang atau merah jambu, selalunya didebungakan oleh
rama-rama dan ia terbuka pada waktu siang. Lalat pula tertarik kepada
bunga-bunga yang berwarna keperang-perangan dan mempunyai bau yang agak busuk.
Bunga jambu bol
iii)
Bunga menghasilkan bau yang harum untuk menarik serangga yang jauh, contohnya
bunga gelang, bunga melur dan mawar. Berbeza pula dengan bunga
yang didebungakan oleh lalat, yang mempunyai bau yang busuk.
iv) Setengah
serangga memakan biji-biji debunga dan sudah pastilah bunga terpaksa
menghasilkan biji-biji debunga yang banyak. Jadi di samping memakan biji-biji
debunga, juga turut membantu mendebungakan bunga itu pada waktu yang sama,
contohnya tumbuhan 'crocus'.
v) Bunga
mempunyai kilang-kilang manisan (madu) di pangkal-pangkal bunga. Kilang ini
menghasilkan manisan yang dinamakan madu bunga. Serangga mengambil madu sebagai
makanannya. Anter, stigma dan kilang madu terletak begitu sesuai tempatnya
supaya serangga dapat turut membantu mendebungakan bunga itu sewaktu mengambil
madunya. Misalnya bunga yang didebungakan oleh kupu-kupu, mempunyai kilang madu
yang terletak pada pangkal reranggi yang dalam di mana hanya boleh dicapai oleh
belalainya yang panjang.
Seekor lebah sedang menghisap madu sambil mendebungakan bunga
Ada juga beberapa jenis bunga yang mempunyai
tanda-tanda khas pada ranggi bunga yang menghala ke arah kilang madu. Ini
dinamakan pemandu madu. Kadang-kadang ranggi diubahsuai sebagai permukaan
mendarat bagi serangga yang melawatinya, contohnya bunga kacang hantu. Begitu
jugalah hubungannya dengan serangga. Oleh kerana serangga mempunyai ukuran
lidah atau belalai yang berlainan, maka ia hanya boleh mendebungakan
bunga-bunga yang kilang manisan atau kilang madu yang sesuai dengan lidahnya
sahaja.
Pada umumnya bunga yang didebungakan oleh
serangga ini mempunyai debunga yang sedikit, berdinding tebal, melekit dan
berduri. Ini bertujuan memudahkan debunga tadi melekat pada bulu dan kaki
serangga yang berbulu itu. Di samping itu, bunga juga mempunyai stigma yang
melekit supaya debunga yang jatuh di atasnya akan melekat kuat, di samping
mempunyai stil ( benang-sari) dan stamen yang kuat dan tegak.
Contoh-contoh bunga pendebungaan serangga
- Kacang hantu
- Salvia
- Bunga matahari
Video di bawah menunjukkan proses pendebungaan melalui serangga